Warga Miri harus sedar dan ingat, kekalkan wakil rakyat
JALAN PUJUT, 22 Julai — Setiap perlaksanaan projek pembangunan infrastruktur di sini perlu melalui kertas cadangan dan permohonan yang lengkap sebelum ia diluluskan.
“Kita bukan hanya tunjuk ke arah jalan raya dan minta projek itu dilaksanakan, dan kemudian siarkan kenyataan dalam akhbar. Tidak semudah itu kerana ia perlu ada kertas cadangan dan permohonan untuk dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan,” kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.
Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Chin berkata, mewar-warkan betapa pentingnya sesuatu projek itu tanpa melakukan tindakan susulan (menghantar permohonan) tidak akan mengubah keadaan.
Sehubungan itu beliau menegaskan, amat penting untuk rakyat mengekalkan wakil mereka khususnya di kerusi Parlimen untuk meneruskan usaha pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Miri bertahun-tahun lamanya telah banyak mendapat manfaat dari kerajaan Persekutuan melalui perlaksanaan pelbagai projek. Justeru warga Miri harus sedar dan ingat, ini kerana disebabkan kerana kita mempunyai wakil”
“Jika kesinambungan ini tidak diteruskan, kita akan kerugian terutama dari segi peruntukan kerana kita sudah tiada wakil rakyat yang boleh meneruskan,” kata beliau.
Chin yang juga Ahli Parlimen Miri berkata, setelah sekian lama menjadi wakil rakyat di sini, beliau sudah masak dengan apa yang diperlukan dan dimahukan oleh rakyat di sini, dan bagaimana mendapatkan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, kekalahan SUPP di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau dan Pujut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu telah memberi impak dan merubah tahap perlaksanaan projek-projek pembangunan di sini.
“Kita menerima kekalahan di Pujut dan Piasau semasa pilihan raya negeri yang lalu tetapi bukan untuk kerusi Parlimen Miri,” katanya.














