SK Sayed Othman perlu blok baru dan dibuat daripada konkrit

Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad Zakarshi untuk meninjau sendiri keadaan lantai sekolah yang reput pada pagi ini.
JALAN MERPATI, 2 Julai — Kementerian Pelajaran akan membincangkan penyelesaian jangka panjang bagi mengatasi masalah yang dihadapi SK Sayed Othman, sekolah usang dan reput diserang anai-anai.
Timbalannya, Dr. Puad Zarkashi berkata, beliau akan membincangkan perkara itu di Jawatankuasa Audit Fizikal sama ada ia boleh dimasukkan ke dalam Pelan Pusingan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
“Saya sudah meminta pegawai pelajaran untuk mengambil gambar dan meminta unit pembangunan sekolah menyediakan laporan yang komprehensif kerana sekolah ini tidak termasuk dalam RMK-10.”
“Kita akan tentukan kemudian sama ada bangunan lama di sekolah ini dibina semula atau membina bangunan baru. Bagi saya, ia wajar diganti dengan blok yang baru dan bangunan konkrit. Menyedihkan kerana masih ada sekolah kayu yang usang terletak ditengah-tengah bandar raya,” katanya kepada media selepas membuat lawatan kerja ke SK Sayed Othman hari ini.
Menurut Dr. Puad, beliau menerima permohonan daripada alumni sekolah, PIBG dan Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui melalui Setiausaha Politiknya, Dato’ Sebastian Ting.
Tambahnya, dengan adanya laporan komprehensif itu, projek membina bangunan baharu blok sekolah itu dapat diberi keutamaan.
“Saya bersimpati dengan dengan guru-guru dan murid-murid yang belajar di sekolah ini, bukan sahaja sempit namun usang dan tidak selesa. Adalah membazir jika kita terus membaiki kerana ia tidak akan menyelesaikan masalah anai-anai dan reput dalam jangka panjang,” katanya.
Dr Puad turut mengumumkan peruntukan RM100 ribu untuk penyelesaian jangka pendek bagi mengatasi masalah anai-anai dan bangunan bocor.













