Sebastian kumpul RM250 ribu untuk kanak-kanak pesakit kanser

Sebastian bergambar bersama isteri dan Setiausaha SUPP Piasau, Karambir Singh dan ahli SUPP yang lain yang ahdir memberikan sokongan moral kepada beliau.
PUSAT BANDAR, 13 Mei— Pengorbanan Dato’ Sebastian Ting yang sanggup membotakkan kepala untuk membantu kanak-kanak menghidap kanser di negeri ini ternyata tidak sia-sia apabila beliau berjaya mengumpul sebanyak RM250 ribu.
Kutipan tersebut dikumpul melalui Kempen Membotakkan Kepala atau Go Bald 4.0 yang mana kempen tersebut berlangsung di Bintang Megamall bermula pukul 12 tengah hari tadi.
Ia dianjurkan oleh Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Negeri Sarawak (SCCS) cawangan Miri bagi membiayai bangunan baru SCCS di Kuching dan kos rawatan.
Sebastian yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air berkata, beliau begitu tersentuh hati melihat begitu ramai yang datang memberi sokongan dengan mengambil bahagian dalam membotakkan kepala selain menderma.
“Kempen itu amat bermakna bukan hanya untuk mengumpul dana bagi SCCS namun pada masa yang sama meningkatkan kesedaran orang awam mengenai penyakit kanser.”
“Kita mahu masyarakat terutama ibu bapa yang anak mereka menghidap kanser tahu bahawa ada pihak seperti SCCS yang prihatin untuk membantu mereka sama ada dari segi kewangan ataupun sokongan moral,” katanya.
Mengenai pengalaman membotakkan kepala, Sebastian berkata,” ini merupakan pertama kali dalam seumur hidup saya berbotak. Terasa sejuk kepala saya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Piasau turut memuji warga Miri yang begitu pemurah dengan menderma dan mengambil bahagian membotakkan kepala demi membantu kanak-kanak yang menghidap kanser di negeri ini.















