Miri Today

Pusat Penapisan Biomass dirancang untuk setiap bandar

Chin melakukan simbolik semasa pelancaran Program 1Hijau 1Komuniti dan majlis pelancaran Jelajah Teknologi Hijau di Hotel Mega hari ini.

PUSAT BANDAR, 18 Jun– Sebuah pusat penapisan biomass untuk menapis dan memproses minyak masak terpakai perlu diwujudkan di negeri ini bagi memudahkan minyak masak terpakai ditapis untuk dijadikan bahan bakar yang mesra alam.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, pihaknya merancang untuk mewujudkan pusat itu sekurang-kurangnya di setiap bandar.

“Berbeza dengan keadaan di Semenanjung Malaysia, penggunaan biomass sebagai bahan bakar oleh kenderaan semakin mendapat tempat kerana adanya pusat untuk menapis semua minyak terpakai tersebut,” katanya kepada media selepas merasmikan Program 1Hijau 1Komuniti dan majlis pelancaran Jelajah Teknologi Hijau di Hotel Mega hari ini.

Chin menambah, di Semenanjung syarikat Sime Darby yang telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan pusat penapisan tersebut, manakala di Sarawak belum ada lagi.

Justeru beliau mencadangkan di Miri, agar agensi berkaitan di bawah kementerian itu melaksanakan penubuhan pusat terbabit dengan bekerjasama dengan Jawatankuasa Local Agenda 21 (LA21) yang di bawah seliaan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Berbanding dengan bahan bakar fosil yang lain, biojisim atau biomass daripada minyak masak terpakai ini jauh lebih murah selain mesra alam.

Bagi setiap satu liter minyak biojisim, harganya ialah 60 sen sahaja dan untuk memenuhkan sebuah tangki kenderaan besar seperti bas, ia memerlukan sehingga 60 liter dan setiap liter mampu menjana perjalanan sehingga 9 kilometer.

Ini bermakna bagi bas yang diisi penuh dengan minyak biojisim, ia boleh berjalan sejauh 540 kilometer untuk sekali perjalanan.

Sempena pelancaran Jelajah Teknologi Hijau, kementerian turut memperkenalkan Bas Teknologi Hijau yang menggunakan 100 peratus minyak masak terpakai sebagai bahan bakar serta berkuasakan 100 peratus tenaga suria bagi membekalkan tenaga elektrik.

Bas Teknologi Hijau ini kelak akan menjelajah ke 11 buah lokasi yang melibatkan 47 buah sekolah menengah dan rendah di sekitar Miri, bermula 20 Jun ini hingga 18 Julai depan, bermula dari jam 8 pagi hingga tamat waktu persekolahan.
Hadir sama pada majlis itu semalam ialah Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Noriah Kasnon, Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (Jaringan Industri dan Masyarakat), Senator Lihan Jok, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai serta ketua-ketua agensi di bawah KeTTHA.

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes