Miri Today

Prosedur tangani kebakaran tanah gambut di Miri perlu dikaji – Uggah

Douglas Uggah sedang mempengerusikan mesyuarat di pejabat Residen pagi tadi, kelihatan sama (dari kiri) Antonio, Sebastian, Lee dan Lawrence.

Douglas Uggah meninjau kemudahan pemadam api kebakaran di tanah gambut sekitar ILP dan Pemyjaya.

MIRI, 30 Jun — Jabatan dan agensi kerajaan berkaitan perlu mengkaji semua prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan kejadian kebakaran paya tanah gambut di sini dapat dikawal dengan lebih pantas.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, perancangan untuk menangani kebakaran dan jerebu di Miri sebelum ini tidak berjaya dan ia perlu dikaji.

“Saya mengarahkan semua jabatan dan agensi yang berkaitan agar menambahbaik kaedah yang digunakan agar apabila berlaku kejadian kita lebih bersedia.”

“Sesetengah jabatan juga ada SOP tersendiri dalam menangani kebakaran khususnya membabitkan tanah gambut, justeru saya berharap prosedur berkenaan diteliti semula untuk menggelakkan masalah ini berulang lagi pada masa akan datang,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat perbincangan mengenai Tindakan Pencegahan Keadaan Jerbu dan Tindakbalas Operasi Pemadaman Kebakaran di Pejabat Residen Miri hari ini.

Antara tindakan yang diputuskan semasa mesyuarat itu ialah pembinaan dua lagi telaga tiub, penggunaan generator yang lebih besar dan penubuhan unit bomba sukarela untuk membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat memadam kebakaran tanah gambut.

“Selain itu, Jabatan Peparitan dan Saliran (JPS) diminta mengkaji lokasi sesuai bagi pembinaan penahan air (check dam) di Miri. Mereka juga perlu menyelenggara dan membaiki check dam yang rosak,” katanya.

Sementara itu, kebakaran hutan belukar di Permyjaya berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) mulai dikesan seluas dua hektar pada 16 Jun dan setakat ini kawasan yang terbakar adalah seluas 50 hektar.

Bacaan Indeks Kualiti Udara (IPU) yang tertinggi direkodkan di stesen ILP Miri adalah 267 pada 27 Jun.

Hadir sama Menteri Muda Perhubungan, Datuk Lee Kim Shin, Residen Miri Antonio Kahti Galis, Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sebastian Ting dan Datuk Bandar Miri Lawrence Lai.

Uggah kemudian turut mengadakan lawatan ke lokasi kebakaran dan meninjau insfrastruktur dan setsen pengawasan kualiti udara di permyjaya.

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes