Poliklinik RM16.5 juta di Tudan, retak dan beroperasi melebihi kapasiti
TUDAN — Tidak sampai 10 tahun beroperasi, Poliklinik Tudan yang dibina dengan kos RM16.5 juta mulai retak di bahagian dinding sehingga menimbulkan kebimbangan dan ketakutan di kalangan kakitangan pesakit.
Apa yang memeranjatkan, satu pertiga daripada poliklinik tersebut terpaksa dikosongkan bagi memberi laluan kepada kerja membaiki dan membaikpulih yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan dijangka siap selepas 18 bulan.
Menteri Muda Komunikasi, Datuk Lee Kim Shin berkata, kerja-kerja membaiki dan membaikpulih itu akan dilaksanakan oleh kontraktor dari Kuching, Javel Engineering.
“Kontraktor akan menilai bangunan tersebut dan mengemukakan lukisan rekabentuk bangunan yang baharu. Sebuah lagi bangunan akan didirikan berhampiran sebelum kerja-kerja membaiki dan membaikpulih dilaksanakan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Poliklinik Tudan hari ini.
Lee memberitahu, kerja tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan sebahagian daripada poliklinik berkenaan akan ditutup.
Dalam perkembangan lain, Lee mencadangkan agar dibina sebuah lagi klinik kesihatan di Permyjaya dan Senadin bagi menampung jumlah penduduk yang kian meningkat di kawasan itu.
“Setakat ini, Poliklinik Tudan menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 600 pesakit setiap hari dan ini melebihi kapasiti yang sepatutnya. Pesakit bukan sahaja dari Tudan, Senadin dan Permyjaya dan Kuala Baram. Bahkan Pujut yang berhampiran dengan klinik kesihatan di pusat bandar turut ke Tudan,” katanya.
Dengan perkembangan Permyjaya sebagai bandar baru yang pesat membangun, Lee mahu sebuah Klinik 1Malaysia ditubuhkan bagi menampung keperluan penduduk di Permyjaya dan Senadin agar penduduk tidak terlalu bergantung dengan Poliklinik Tudan.
Sementara itu, Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin mencadangkan pembukaan sebuah kantin bagi memudahkan orang ramai dan kakitangan. Setakat ini, terdapat sebuah gerai didirikan itu pun diluar kawasan klinik.














