Miri Today

Persatuan Harapan Miri mohon bantuan untuk ubahsuai kenderaan OKU

Dato’ Sebastian sedang memeriksa salah sebuah kenderaan OKU di Persatuan Harapan Miri petang tadi.

Dato’ Sebastian meneliti dokumen untuk pengubahsuaian kenderaan OKU, kelihatan sama Pemanca Wilson Siang Lim (kiri).

KROKOP, 18 Ogos —  Persatuan Harapan Miri diminta mengemukakan senarai ahli-ahli yang memerlukan bantuan dana untuk mengubahsuai kenderaan bagi kegunaan Orang Kurang Upaya (OKU).

Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merangkap Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui iaitu Datuk Sebastian Ting berkata, senarai itu diperlukan bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan kepada golongan OKU.

“Saya meminta Presiden Persatuan Harapan Miri iaitu Pemanca Wilson Siang Lim untuk menyerahkan senarai OKU yang mempunyai kenderaan tetapi tidak mampu mengubahsuai kenderaan mereka selewat-lewatnya 16 September depan,” katanya selepas menyampaikan hamper dan duit Raya kepada 15 ahli-ahli Persatuan Harapan Miri di Krokop petang tadi.

Menurut Sebastian, senarai tersebut akan dikemukakan kepada Chin untuk dipertimbangkan secepat mungkin.

Menurut Wilson Siang, kos mengubahsuai kenderaan biasa menjadi kenderaan OKU ialah kira-kira RM3,000 dan setakat ini lima ahli sahaja yang mempunyai kenderaan diubahsuai manakala selebihnya tidak mampu berbuat demikian.

“Ramai daripada ahli-ahli persatuan mempunyai lesen dan kemahiran memandu, namun mereka tidak dapat membawa kenderaan seperti kereta dan motosikal kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk mengubahsuai kenderaan mereka.”

“Justeru, kita amat berharap dengan keprihatinan kerajaan untuk menyalurkan dana bagi membantu golongan ini . Selain itu, kita juga berharap Majlis Bandaraya Miri (MBM) dapat mewujudkan lebih banyak tempat letak kereta untuk kenderaan OKU,” kata Wislon.

Mengulas perkara ini, Sebastian berkata pihaknya akan berbincang dengan MBM untuk menambah ruangan letak kereta bagi menjadikan Miri sebagai sebuah bandar raya yang mesra OKU.

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes