Permohonan TR1Ma untuk pemandu teksi di Miri dan Sibuti mulai esok

Sebastian menyampaikan borang permohonan TR1Ma kepada pemandu teksi di Lapangan Terbang Miri petang tadi.

Sebastian mengedarkan borang permohonan TR1Ma kepada pemandu teksi di Old Street, pusat bandar Miri.
JALAN PUJUT, 25 Jun – Mulai hari ini, pemandu teksi di seluruh Miri termasuk Sibuti dan Batu Niah boleh memohon baucar bernilai RM520 setiap seorang untuk menggantikan empat tayar dibawah inisiatif program Teksi Rakyat 1Malaysia (TR1Ma) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sebastian Ting berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara online di www.spad.gov.my (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat).
“Bagi yang tidak akses dengan internet, pemandu teksi juga boleh mendapatkan borang permohonan TR1Ma di pejabat SUPP cawangan Miri/Piasau mulai esok,” katanya hari ini.
Lebih 300 pemandu teksi di Miri termasuk Sibuti dan Batu Niah mendapat manfaat melalui pemberian subsidi itu melibatkan dana sejumlah RM35 juta melalui Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk tempoh dua tahun.
Katanya, terdapat kira-kira 250 pemandu teksi di Miri manakala selebihnya di Sibuti dan Batu Niah.
Petang tadi mulai pukul 5 petang, Sebastian mengedarkan borang permohonan kepada pemandu teksi di Lapangan Terbang Miri, stesen teksi di pusat bandar (berhampiran Central Market) diikuti stesen belakang Hotel Mega.
“Selepas permohonan mereka diluluskan, pemandu teksi boleh mendapat satu set tayar percuma di beberapa pusat servis tayar yang dilantik di Miri,” katanya.
Najib ketika membuat pengumuman berkata, seramai 66, 538 pemandu teksi di seluruh negara diberikan baucer bernilai RM520 sebagai menjaga kebajikan pemandu teksi sekaligus memastikan keselamatan perjalanan mereka setiap hari.













