Miri Today

Peluang tipis untuk rakyat Sarawak menjadi guru, KP perlu beri tumpuan serius

Dato Sebastian mengutarakan suara rakyat mengenai isu perguruan

EASTWOOD VALLEY, 27 Mei — Kementerian Pelajaran perlu memberi peluang sama rata kepada rakyat Sarawak untuk mengisi kekosongan dalam kerjaya perguruan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata, beliau banyak menerima aduan daripada pemohon tempatan mengenai kesukaran mereka mendapat tempat dalam bidang perguruan.

“Ramai yang memohon, namun peluang mereka amat tipis. Justeru, saya berharap Kementerian Pelajaran dapat meneliti perkara ini dengan serius memandangkan ramai di kalangan rakyat tempatan berminat mahu menjadi guru,” katanya memberitahu jawatankuasa panel semasa Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 di Eastwood Valley Golf and Country Club di sini hari ini.

Sesi dialog tersebut dipengerusikan oleh dua panel iaitu Tan Sri Dato’ Alimuddin Mohd Dom dan Dr. Zulwali Kifli Merawi.

Sebastian yang juga pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) turut memberitahu panel agar Sarawak diberi keutamaan dalam menyelesaikan masalah berkaitan pendidikan.

“Sebelum ini banyak masalah berkaitan pendidikan diutarakan kepada peringkat atasan untuk perhatian selanjutnya. Ia perlu diberi tumpuan lebih oleh Kerajaan Persekutuan agar ia dapat diselesaikan dengan berkesan.”

“Berbanding negeri-negeri di Semenanjung, Sarawak mempunyai kawasan yang begitu besar, malah saiz bahagian menyamai satu negeri di sana,” katanya.

Mengenai Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sebastian berkata ia diterima dengan begitu baik di negeri ini.

“Justeru saya berpendapat, adalah wajar perlaksanaan PPSMI di negeri ini diteruskan untuk memantapkan penguasaan para pelajar dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, kira-kira 2,000 peserta menghadiri sesi dialog terdiri daripada guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), wakil parti politik dan persatuan.

Dialog tersebut bertujuan memberi peluang kepada rakyat mengemukakan idea dan pandangan ke arah transformasi pendidikan dan membina kesedaran akan perancangan Kementerian pelajaran dalam membangunkan pendidikan melalui transformasi Sistem Pendidikan negara.

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes