Mengapa perlu percaya khabar angin yang disebar FMT – Douglas Uggah
MIRI, 13 Februari – Ahli Parlimen Betong, Dato Sri Douglas Uggah Embas hari ini menyelar tindakan media yang gemar menjadi alat untuk menyebarkan khabar angin bahawa beliau digugurkan daripada senarai bakal calon pilihan raya Parlimen bagi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) nanti.
“Khabar angin yang tidak berasas ini boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat. Mengapa media sanggup menjadi alat untuk menyampaikan laporan yang tidak diketahui kebenaran,” katanya ketika mengulas laporan portal Free Malaysia Today (FMT) yang mendakwa beliau merupakan antara sembilan Ahli Parlimen yang digugurkan.
Uggah yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata demikian kepada media semasa ditemui selepas meninjau projek yang diumumkan semasa Walkabout Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri di Jalan Miri-Marudi hari ini.
“Itu hanya khabar angin. Mengapa perlu percaya dengan khabar angin?”, katanya.
Dalam pada itu, Uggah menegaskan keutamaan beliau sekarang ialah untuk memastikan semua projek yang dijanjikan sebelum pilihan raya negeri lalu berjaya dan telah dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai khabar angin itu,” katanya.
Portal berita online Free Malaysia Today (FMT) baru-baru ini mendedahkan seramai 9 Ahli Parlimen dari PBB akan digugurkan daripada senarai calon Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
Selain Uggah, Nancy Shukri (Batang Sadong), Datuk Rohani Abdul Karim (Batang Lupar), Datuk Wahab Dollah (Igan), Datuk Michael Leo Toyad (Mukah), Datuk Dr James Dawos Mamit (Mambong), Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib (Kota Samarahan), Ahmad Lai (Sibuti) dan Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong).














