Miri Today

Masalah SK Sayed Othman dibawa ke Kabinet Jumaat ini – Sebastian Ting

Sebastian, Aminah, Salleh (kanan) melihat keadaan dinding yang rosak dimakan anai-anai di Pusat Sumber SK Sayed Othman.

JALAN MERPATI, 26 Jun – Lebih 200 murid di SK Sayed Othman dekat sini dalam keadaan bahaya apabila bangunan sekolah semakin reput dimakan anai-anai selain uzur.

Sekolah yang terletak di Jalan Merpati di sini telah dibina pada tahun 1962 dan merupakan antara sekolah tertua di sini.

Sekolah kayu itu mempunyai lima kelas iaitu sebuah kelas Tahun Satu dan empat kelas untuk Tahun Dua manakala blok konkrit menempatkan kelas pra sekolah, tahun tiga hingga enam serta bilik guru.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Salleh Alision berkata,
sebahagian lantai sekolah kayu yang menempatkan pelajar Tahun Satu dan Dua berlubang dan dalam keadaan rapuh.

Menurut Salleh, anai-anai turut memakan dinding bilik guru dan  guru besar, kawasan sink guru, pusat sumber, pustaka dan bilik pra sekolah.

“Siling di blok konkrit juga kerap rosak walaupun usaha membaik pulih dilakukan oleh guru, ibu bapa dan Jabatan Pelajaran.”

“Cara terbaik untuk mengatasi sepenuhnya masalah ini ialah dengan membina semula sekolah ini dengan sebuah blok baru,” katanya.

Walaupun usaha membaik pulih seperti menukar lantai, siling atau dinding baru sudah dilakukan, namun ia hanya bersifat sementara dan membazir. Malah keadaan sekolah yang sudah sedia uzur itu semakin diburukkan oleh anai-anai.

Guru Besar, Wan Aminah Wan Dahili berkata, serangan anai-anai mula serius sejak lima tahun lalu khasnya di blok kayu yang merupakan sarang serangga berkenaan.

“Sekolah berharap mempunyai sebuah blok konkrit setinggi tiga tingkat dibina di tapak sekolah itu yang mempunyai sebanyak 24 bilik termasuk dewan di tingkat bawah,” katanya.

Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting ketika meninjau sekolah tersebut memberitahu, masalah berkenaan serius dan perlu diberi perhatian segera.

“Saya akan serahkan surat mengenai perkara ini kepada Ahli Parlimen Miri, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui di Kuala Lumpur untuk dibentangkan di Kabinet pada Jumaat ini,”katanya.

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes