Kawasan setinggan dikenalpasti sebagai tempat pembiakan utama nyamuk aedes
TANJONG LOBANG, 16 Ogos – Kawasan perumahan setinggan di Kampung Api-api dan Kampung Pasir di Lutong dikenalpasti sebagai tempat pembiakan utama nyamuk aedes di bandar raya Miri.
Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr Faizul Mansoor berkata, kedua-dua kawasan ini secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi di Miri iaitu 68 kes setakat ini.
“Kita sudah mengenalpasti iaitu Kampung Api-api dan Kampung Pasir di Lutong merupakan kawasan panas bagi denggi di Miri. Sehubungan itu kita akan beterusan melaksanakan langkah pencegahan.”
“Ini termasuk penyemburan kabus, pemantauan selain aktiviti pembersihan bagi memastikan pembiakan nyamuk aedes di kawasan itu dapat dikurangkan,” katanya semasa sidang media di pejabat Jabatan Kesihatan Bahagian Miri di Tanjong Lobang, semalam.
Perhatian turut diberikan terhadap kawasan lain khususnya perumahan setinggan seperti Pujut Sampah, Kampung Merikan dan Sealine.
Pada masa sama, beliau menasihati penghuni-penghuni yang bakal meninggalkan rumah supaya membersihkan bekas atau tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.
“Air bertakung di dalam tandas atau bilik mandi dan kemudiaannya ditinggalkan untuk jangkamasa lama adalah tempat nyamuk membiak,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai penyakit kuku, kaki, tangan dan mulut (HFMD) pula, beliau memberitahu bahawa ia turut terkawal pada masa sekarang.
“Kita nasihatkan pihak tadika untuk menggunakan masa cuti sekolah nanti untuk membersihkan segala peralatan bagi mengelakkan jangkitan berlaku,” kata Dr Faizul.
Ini menurut beliau kebiasaannya HFMD bakal melonjak setiap kali selepas musim cuti sekolah.














