Kampung 1Malaysia bakal mendapat dewan serbaguna, tanki air dan zink yang mereka mohon

Sebastian memalu gong pada majlis Ngiling Tikai anjuran Kampung 1Malaysia di Jalan Miri Bypass pagi tadi, kelihatan sama Andy dan Julius (paling kanan).
MIRI BYPASS, 1 Julai — Ahli Parlimen Miri Datuk Seri Peter Chin Fah Kui meluluskan tiga projek untuk Kampung 1Malaysia termasuk pembinaan dewan serbaguna bernilai RM10,000.
Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting berkata, dua lagi projek yang diluluskan segera ialah pembekalan tangki air 1Malaysia dan zink untuk kegunaan 55 keluarga di situ.
Beliau yang berucap mewakili Chin berkata, tangki 1Malaysia akan diberikan dalam masa terdekat bagi memastikan penduduk kampung mempunyai bekalan air mencukupi terutama pada musim kering sekarang.
“Sehubungan itu, saya mahu ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengemukakan senarai nama keluarga serta maklumat lain untuk membolehkan bantuan disalurkan,” katanya berucap pada majlis Ngiling Tikai di Dewan Serbaguna Kampung 1Malaysia pagi tadi.
Permintaan lain yang turut dipertimbangkan ialah bekalan batu untuk jalan raya kampung serta penyambungan bekalan elektrik.
“Untuk permohonan batu, saya mahu penduduk kampung menulis surat kepada Chin agar tindakan selanjutnya dapat diambil. Manakala bekalan elektrik, saya akan membuat susulan dengan pihak Sesco.”
Terdahulu, pengerusi JKKK Kampung 1Malaysia, Julius Lemon memohon kerajaan agar membekalkan kemudahan tangki 1Malaysia, menaiktaraf jalan, penyambungan bekalan elektrik dan membina sebuah dewan serba guna.













