Bacaan Indeks Pencemaran Udara 176 di kawasan Permyjaya, kategori udara yang tidak sihat

Ismail menunjukkan check dam yang digunakan untuk mengairi kawasan
kebakaran di paya tanah gambut di Permyjaya berhampiran Kompleks Anak
Yatim Hamidah, kelihatan sama Sivanathiran.
PERMYJAYA, 22 Jun— Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan Permyjaya mencatat jumlah yang tertinggi iaitu 176, jatuh kepada kategori udara yang tidak sihat.
Pengarah JAS Sarawak, Ismail Ithnin yang meninjau kawasan kebakaran paya tanah gambut seluas 10 hektar berhampiran Kompleks Anak Yatim Hamidah berkata, bacaan itu diambil pada jam 7 pagi tadi.
“Indeks ini amat tinggi berbanding bacaan di kawasan lain di Miri yang hanya mencatat sekitar 50. Kawasan Permyjaya mencatat bacaan tinggi kerana membabitkan kebakaran paya tanah gambut selain berdekatan dengan pembaca IPU.”
Justeru katanya, JAS akan terus memantau kebakaran paya tanah gambut di Permyjaya bagi memastikan tahap kualiti udara di kawasan itu tidak bertambah buruk.
Menurut Ismail, pihaknya akan memberi keutamaan kepada kawasan kebakaran di Permyjaya kerana tahap kualiti udara di kawasan itu paling teruk berbanding kawasan lain di Miri.
Setakat ini, terdapat dua stesen automatik membaca IPU masing-masing di Institut Latihan Perindustian (ILP) di Jalan Kuala Baram dan Piasau.
Stesen tersebut akan memantau kualiti udara dan menghantar laporan kualiti udara kepada JAS sekali setiap empat jam.
“Sehubungan itu, kita mahu Jabatan Bomba dan Penyelamat memberi keutaman untuk memantau kawasan ini kerana lokasinya berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Tudan dan Kompleks Anak Yatim Hamidah,” katanya.
Beliau menambah, perigi bawah tanah dan check dam yang dibina untuk menangani kebakaran hutan paya gambut di Permyjaya sudah diaktifkan untuk memadamkan kebakaran dengan bantuan pasukan dari Naim Lands Sendirian Berhad.
Selain itu, JAS juga sedang mendapatkan bantuan daripada pemilik tanah untuk memadamkan kebakaran tersebut.
JAS turut mengedarkan sebanyak 800 topeng penutup mulut untuk murid-murid di SJK Chung Hua Tudan dan penghuni di Kompleks Anak Yatim Hamidah.
Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Unjar Lum ketika ditemui berkata, lebih 15 pegawai bomba ditempatkan di Permyjaya dan Kuala Baram bagi memantau keadaan.
“Sudah tiga hari kita bertungkus-lumus memadamkan api kebakaran dan setakat ini keadaan di kedua-dua lokasi adalah terkawal,” katanya.
Hadir sama Ketua Cawangan JAS Miri, Sivanathiran Subramaniam dan Setiausaha Politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Sebastian Ting.














Terimakasih kpd pihak berkuasa yg cepat bertindak. Harap pihak tuan dapat memantau waktu petang yg sudah gelap sekitar 6.50-7.30 petang kerana ada juga org sengaja membakar sesuatu. Mungkin mereka fikir pihak berkuasa tidak meronda masa itu