Pelantar minyak Tukau B terbakar, lima kakitangan cedera
MIRI, 11 Jun – Lima kakitangan pekerja luar pantai cedera selepas pelantar Minyak Tukau B, milik Petronas Carigali yang terletak 31 kilometer dari pantai Miri terbakar pagi tadi.
PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Operasi Sarawak) dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan petang tadi memberitahu, insiden berpunca daripada kebakaran ‘skid compressor’ di bahagian operasi pelantar itu kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.
Kenyataan itu menambah, api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 10.25 pagi.
Kelima-lima mangsa diterbangkan menggunakan helikopter dari pelantar minyak tersebut terus ke Terminal 2, Lapangan Terbang Miri, sebelum dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Miri.
Seramai 16 lagi pekerja di pelantar tersebut turut dipindahkan ke pelantar yang lain.
Setiausaha politik kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sebastian Ting yang melawat kesemua mangsa di Hospital Miri petang tadi berkata, kelima-lima mangsa berada dalam keadaan stabil dan dibawah permerhatian pihak hospital.
“Saya difahamkan oleh pihak doktor bahawa seorang daripada mangsa mengalami kelecuran serius pada tahap 1, manakala dua lagi masing-masing pada tahap kelecuran tahap 2 dan tahap 3.”
Katanya, tiga daripada pekerja yang tercedera ialah kakitangan syarikat kontraktor, manakala dua lagi ialah kakitangan Petronas Carigali.
Hadir sama melawat mangsa ialah Pengerusi SUPP Pujut, Andy Chia dan setiausaha SUPP cawangan Piasau, Karambir Singh.
Pelantar Tukau merupakan pelantar induk yang menempatkan kuaters penginapan pekerja luar pantai yang bertugas di pelantar Tukau dan pelantar West Lutong, sebuah pelantar lebih kecil yang terletak di jauh darinya.













