Miri Today

Pasar Malam akan dibuka semula mulai 2 Ogos

PUSAT BANDAR, 17 Julai – Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan membuka semula Pasar Malam Miri di sepanjang Jalan Brooke berhampiran bangunan Yu Lan Plaza mulai 2 Ogos depan.

Datuk Bandar MBM, Lawrence Lai berkata, ia akan beroperasi setiap hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, bermula dari jam 5 petang hingga 11 malam.

“Pasar malam ini pernah dibuka berhampiran kawasan yang sama pada tahun 2007 namun terpaksa dihentikan kerana tiada sambutan. Namun kita yakin keadaan sekarang sudah berubah berbanding lima tahun lalu,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat MBM hari ini.

Sebagai permulaan katanya, pasar malam akan dibuka selama tiga bulan dan dalam tempoh percubaan itu seramai 100 peniaga terawal sahaja akan diberikan permit dan berniaga tanpa perlu membayar yuran.

Peniaga hanya menyediakan meja dan kanopi manakala elektrik dan kerja-kerja pembersihan disediakan oleh MBM.

Peniaga boleh menjual pelbagai makanan dan minuman termasuk memasak atau memanggang, jualan kraf tangan dan pakaian manakala ikan segar dan binatang atau daging tidak dibenarkan.

“Selepas tiga bulan, jika sambutan baik dan mengalakkan daripada pelanggan dan peniaga, kita akan meneruskan pasara malam ini dan memperluaskan kawasan operasi,” katanya sambil menambah peniaga hanya dikenakan yuran RM30 sebulan.

Sementara itu, pasar malam itu dikendalikan dengan kerjasama Dewan Perdagangan, Industri Dayak (DCCI) Bahagian Miri dan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Miri (MCCCI) dan Persatuan Peniaga Bumiputera Miri Sarawak (PBMS).

Keterangan lanjut mengenai borang akan diberitahu minggu depan.

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes