Miri Today

Masalah jerebu berpunca daripada masalah setempat – Peter Chin

 

MIRI, 9 Ogos – Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui menyifatkan tindakan pihak yang beterusan melakukan pembakaran terbuka sebagai mementingkan diri sendiri dan suka menyusahkan kehidupan orang lain. 

“Sebagai warga Miri, hentikan tindakan yang tidak bertanggungjawab ini. Anda hanya membawa penderitaan kepada penduduk lain terutama orang tua dan kanak-kanak yang mudah terdedah dengan penyakit kesan tercium bau asap jerebu.”

Chin yang ditemui di pejabat SUPP hari ini mengulas kejadian kebakaran tanah gambut di kawasan penempatan semula di Tudan Ahad lalu, menyebabkan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah ke 246 pada Isnin lalu.

“Masalah jerebu yang dihadapi oleh warga Miri dalam tempoh beberapa hari lalu berpunca daripada masalah setempat, maksudnya berpunca daripada orang Miri sendiri. Bukan pembakaran dari Indonesia atau Brunei, tetapi dari Tudan.

“Justeru, saya mahu penduduk Miri mengambil tindakan pro aktif untuk menghentikan pembakaran dan mengambil langkah berjaga-jaga termasuk memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya berlaku kebakaran,” ujar Chin.

Dalam perkembangan lain, Chin yang juga Ahli Parlimen Miri memuji tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat dan agensi kerajaan yang lain yang bertungkus lumus dalam memadamkan kebakaran tersebut

“Kita sudah bincangkan perkara ini di Kabinet agar pihak Bomba dapat memberi kerjasama sepenuhnya  untuk menangani kebakaran tanah paya gambut.

Beliau turut berterima kasih kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato’ Sri Douglas Uggah Embas yang begitu prihatin dan melawat kawasan serta mengemukakan cadangan untuk mengatasi masalah itu pada masa akan datang.

 

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes