Miri Today

KGM derma RM9,590 kepada kempen Go Bald

Dr. Philip dan Johnathan (kanan) masing-masing menyampaikan derma kepada Sebastian dan Jocelyn di Kelab Golf Miri hari ini.

PULAU MELAYU 4 Mei— Kelab Golf Miri (KGM) hari ini membuktikan keprihatinan dengan menderma sebanyak RM9,590 kepada Kempen Go Bald atau Membotakkan Kepala untuk dana Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Negeri Sarawak (SCCS).

Daripada jumlah itu, sebanyak RM5,710 dikutip dalam Cabaran Bull Eyes, May Day Golf pada 1 Mei lalu manakala selebihnya RM3,880 melalui ‘Chipping Challenge’ pada 28 dan 29 April lalu.

Sumbangan sebanyak RM5,710 tersebut disampaikan oleh Kapten KGM, Dr Philip Raja kepada bekas kapten kelab merangkap Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Sebastian Ting.

Manakala, RM3,880 disampaikan oleh sukarelawan untuk Chipping Challenge, Jonathan Chia kepada pengerusi Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Negeri Sarawak (SCCS) cawangan Miri, Jocelyn Hee.

Sebastian sendiri akan membotakkan kepala semasa Kempen Membotakkan Kepala atau Go Bald pada 13 Mei ini, di Bintang Megamall.

Sebelum ini, beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Piasau melalui Miri Youth Action Centre (MYAC) turut menjayakan kempen untuk mengutip dana.

Dr. Philip berkata, seramai 97 penyokong kempen mengambil bahagian dalam pertandingan di mana tiada pemenang dan derma itu adalah sebagai tanda sokongan kepada Sebastian dan  pihak penganjur mengumpul dana untuk SCCS.

Sementara itu Sebastian berkata, beliau berterima kasih kepada pihak KGM dan sukarelawan Chipping Challenge yang begitu prihatin dengan mendermakan wang.

“Matlamat kita bukan hanya untuk mengumpul dana, namun yang penting kita mahu menyedarkan pesakit kanser dan ibu bapa bahawa mereka tidak diabai atau dipinggirkan. Kita sedia membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Jocelyn memberitahu, setakat ini mereka berjaya mengumpul sebanyak RM57,000 iaitu melepasi sasaran RM50,000 yang ditetapkan sebelum ini.

Seramai 150 peserta termasuk 26 wanita akan membotakkan kepala masing-masing di Bintang Megamall pada 13 Mei ini.

Photo Gallery

Log in | Designed by Gabfire themes