JAS nafi ‘tidur’ selesai isu jerebu di Miri
JALAN KIPAS, 26 Jun – Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Miri kesal dengan tuduhan pihak tertentu yang menganggap mereka tidak berbuat apa-apa untuk memadamkan kebakaran di kawasan tanah gambut yang berlarutan sejak 10 hari lalu.
Ketuanya, Sivanathiran Subramaniam, mereka serius dalam menangani isu jerebu yang melanda Miri dan sudah mengambil beberapa langkah yang sewajarnya.
Antara langkah terbaharu yang digunakan oleh JAS Miri ialah pembinaan terusan kecil sepanjang dua kilometer merentangi kawasan terbakar bagi menghalang api merebak ke kawasan sekolah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Tudan, ILP dan Kompleks Anak Yatim Hamidah.
“Kami tidak ‘tidur’ atau goyang kaki sahaja. Saya menerima aduan daripada orang awam yang mengadu JAS tidak berbuat apa-apa sedangkan kami sudah berusaha dan melakukan yang terbaik untuk memastikan api kebakaran tidak terus merebak ke kawasan lain,” katanya kepada media selepas taklimat Status Pematuhan Pengurusan Buangan Terjadual Bagi Kilang-kilang Di bawah Kawaalan JAS Miri di Pustaka Miri hari ini.
Selain itu, JAS turut mendapatkan bantuan daripada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang mana kosnya ditanggung oleh JAS.
“Masalah kebakaran di kawasan ini berlaku hampir setiap tahun menjelang musim kemarau yang panjang sejak lebih 10 lalu hingga mengakibatkan jerebu. Ini kerana kawasan tersebut terdiri daripada 90 peratus tanah paya gambut yang memang mudah terbakar semasa kemarau,” katanya.
Sementara itu, Residen Miri, Antonio Kahti Galis ketika dihubungi berkata, setakat jam 7 pagi tadi, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan ILP di Kuala Baram turun ke 75 berbanding semalam 193 pada waktu yang sama.
“Sehingga jam 2 petang tadi, kebakaran di kawasan tanah gambut di utara Miri sudah mulai perlahan dan kita berharap pihak bomba dapat memadamkan api kebakaran keseluruhan dalam tempoh dua hingga tiga hari ini.”
Katanya, kerja-kerja pemasangan terusan kecil atau terusan di ILP sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya esok.













